Salam Bicara

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.
Maha Suci Allah yang dalam pengetahuanNya segala sesuatu. Tuhan semesta alam. Tuhan yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Tuhan yang tidak ada satu pun yang menyamaiNya. Yang dalam gengamanNyalah yang di langit dan di bumi, dunia dan akhirat. Tuhan yang menjadikan semua makhluk.

Selawat dan salam ke atas junjugan besar Nabi Muhamad saw dan ke atas keluarga baginda. Nabi dan Rasul kekasih Allah swt.

Pertama-tamanya, dipanjatkan rasa syukur ke hadrat Illahi, tuhan semesta alam, dengan limpah kurnia dan rahmatNya, dianugerahkan ilmu ini kepada kami. Tidak ada daya upaya kami melakukan sesuatu pun tanpa izin Allah swt.

Dengan izin Allah jua, saya dapat memaparkan kepada pembaca sekelian tentang satu cabang ilmu perubatan yang dinamakan Perubatan Prana Suci (PPS).

Setelah menuntut dan mengamalkan PPS, saya rasa terpanggil untuk berkongsi dengan para pembaca sekelian tentang PPS, dan saya rasa amat bersalah kalau keujudan ilmu ini tidak disampaikan. Justru, PPS tidak mengandungi unsur-unsur syirik dan tidak mempermudah-mudahkan ayat-ayat suci Al-Quran, jauh sekali dari mempersenda-sendakan ayat-ayat suci Al-Quran dalam mengubati penyakit.

"Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan sesuatu dengan Dia, dan Dia mengampuni dosa yang lain dari syirik itu bagi siapa yang dikehendakiNya".   (QS.An.Nisa' : 48)

"Apabila engkau lihat orang yang bercakap-cakap(memperolok-olokan) ayat-ayat Kami, maka berpalinglah engkau daripada mereka, sehingga mereka bercakap-cakap tentang perkara yang lain. Jika engkau lupa kerana syaitan, maka janganlah engkau duduk bersama kaum yang anianya, setelah engkau ingat yang demikian itu".    (QS.Al-An'aam : 68)

Moga dengan usaha yang amat sedikit ini dapat mengelak para pembaca sekelian dari terjebak dan di luar kesedaran menggunakan perubatan-perubatan lain yang mengamalkan ilmu atau kaedah perubatan yang lebih mendatangkan kemurkaan Allah swt. Semoga PPS menjadi satu alternatif untuk rawatan.

Harapan saya, 'Selangkah ke alam Perubatan Prana Suci' ini, sekurang-kurangnya menjadi sebagai penjelasan lanjut kepada yang telah mendapat rawatan dari PPS dan memberi gambaran awal kepada yang belum mengenali PPS.

PPS adalah satu kaedah rawatan atau ilmu perubatan yang merangkumi penyakit-penyakit fizikal dan juga sakit yang disebabkan oleh gangguan dari makhluk halus seperti jin, syaitan, hantu dan sebagainya.

Disamping ilmu dan amalan kebatinan yang dilakukan oleh pengamalnya ketika merawat pesakit, bahan-bahan dan ramuan-ramuan tertentu juga digunakan sebagai ubat.

Disebalik sebagai satu ikhtiar untuk merawat pesakit sebagaimana yang dituntut oleh agama, jika dihalusi dengan lebih teliti tentang cara amalan, kaedah rawatan dan proses rawatan, semuanya itu menjurus kepada mendekatkan diri kepada Allah swt.

Dalam masa yang sama, PPS tidak sekali-kali menentang cara rawatan moden atau konvensional yang ada, cuma dalam beberapa hal dan kes, ianya perlu dibincangkan lebih mendalam akan ketepatan punca penyakit dan cara rawatan yang diberikan.

Sikap dan sifat keterbukaan ilmu ini juga akan menyenangkan pesakit, lantaran pesakit tidak dibataskan untuk berurusan dengan pegamal PPS sahaja untuk mendapatkan rawatan. Pesakit boleh mendapatkan rawatan di mana sahaja asalkan cara rawatan itu tidak mengandungi unsur-unsur syirik dan sebagainya sebagaimana yang telah diperkatakan terdahulu.

Dalam menghadapi dan mengalami apa jua penyakit, kita mesti bersabar dan berusaha mendapatkan rawatan yang betul. InsyaAllah, usaha kita akan diperkenankan olehNya. Apabila sahaja kita sembuh dari setiap penyakit, hendaklah kita terus memanjatkan rasa syukur kepada Ilahi, ucaplah 'Alhamdullilah' dengan penuh kefahaman dan rasa keinsafan.

"Dan bersabarlah, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar".
(QS.Al-Anfal : 46)

Akhirulkalam, semoga apa yang kita lakukan mendapat rahmat dan keberkatan dariNya dan diletakkan sebagai amal soleh.

Sesungguhnya apa yang baik itu datangnya dari Allah swt dan segala kekurangan itu adalah dari kelemahan saya sendiri, semoga Allah mengampuni segala dosa dan kesalahan yang di luar kesengajaan itu.

Wassalam.

Dzulkafli bin Hamzah

No comments:

Post a Comment